*Ramadan masa sesuai henti tabiat merokok*


*UTAMA <http://www.biovco.com/>*

*TESTIMONI <http://www.biovco.com/testimoni.html>*

*INFO KESIHATAN <http://www.biovco.com/info/>*

*BELI PRODUK <http://www.biovco.com/beli.php>*



*MEROKOK bahayakan kesihatan.*

Individu tahan diri daripada rokok ketika puasa bukan dipengaruhi nikotin
tetapi kawalan tingkah laku

BULAN Ramadan adalah masa terbaik untuk berhenti merokok. Bagaimanapun,
tidak semua orang 'berjaya' dalam perjuangan itu kerana ada yang kembali
merokok sebaik saja azan subuh 1 Syawal berkumandang. Tidak kurang juga yang
berbuka puasa dengan merokok.

Timbalan Pengarah Kesihatan, Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur, Dr Sallehudin
Abu Bakar, berkata ada tiga jenis ketagihan yang mencengkam perokok, iaitu
nikotin, psikologi dan tingkah laku.

Beliau berkata, ketagihan nikotin mempunyai kesan besar terutama di kalangan
perokok tegar.

"Ia boleh disamakan dengan ketagihan heroin, cuma tidak sehingga seseorang
perokok itu menggigil. Bagaimanapun, mereka yang ketagihan pada nikotin
mengalami gejala tarikan antaranya resah gelisah, cepat marah dan hilang
tumpuan," katanya.

Dr Sallehudin berkata, ketagihan bersifat psikologi pula bergantung kepada
persepsi perokok kerana sesetengah orang menghisap rokok untuk menghilangkan
rasa mengantuk atau senang membuang air besar.

Beliau berkata, ketagihan secara psikologi mudah diatasi kerana apabila tiba
bulan Ramadan, secara automatik semua perokok bersedia bukan saja untuk
berlapar dan dahaga malah untuk menahan diri daripada merokok pada siang
hari.

Katanya, contoh ketagihan dari segi tingkah lagu ialah apabila waktu
berbuka, perokok yang mengalami ketagihan akan kembali merokok.

"Jika bukan bulan puasa, setiap kali selepas makan secara automatik, rokok
sudah jadi satu kemestian untuk dihisap selepas makan. Jadi apabila bulan
puasa, ketika berbuka mereka akan merokok sepuas-puasnya," katanya.

Beliau berkata, mereka yang mengalami ketagihan teruk akan berbuka puasa
dengan rokok kerana nikotin sudah mengawal seluruh fungsi otak. Tanpa
nikotin mereka seakan tidak boleh berfikir kerana itu mereka yang merokok
lebih suka tidur pada bulan puasa.

Dr Sallehudin berkata, oleh itu adalah jelas seorang perokok sukar berhenti
merokok kerana ketagihannya merangkumi tiga komponen iaitu nikotin,
psikologi dan tingkah laku.

Bagaimanapun, katanya ia bukan sukar dilakukan apatah lagi jika seseorang
itu berupaya menahan diri untuk tidak merokok sepanjang Ramadan.

"Rokok, kalau dapat ditinggalkan sepanjang Ramadan bermaksud ia boleh
ditinggalkan terus. Ini kerana gejala tarikan biasanya sudah mulai surut
menjelang dua atau tiga minggu berpuasa," katanya.

Menghisap sebatang rokok bermaksud tidak kurang 3,800 jenis racun disedut ke
dalam tubuh. Bayangkan jumlah racun yang ada dalam badan jika seseorang itu
merokok sekotak sehari.

Dalam keadaan biasa, Dr Sallehudin berkata, tahap maksimum seorang perokok
tegar menghabiskan 80 batang rokok sehari dan apabila tiba bulan puasa
memang agak sukar berhenti jika diambil kira faktor tarikan nikotin.

Bagaimanapun, katanya, terapi nikotin disediakan bagi mereka yang sukar
menghentikan ketagihan terhadap nikotin dan ia berbentuk tampalan serta
boleh berfungsi sama ada untuk 24 jam atau 16 jam.

"Selain boleh diperoleh di klinik kerajaan, terapi nikotin untuk mereka yang
mahu berhenti merokok ini juga boleh dibeli di farmasi," katanya.

Dr Sallehudin berkata, untuk kekal tidak merokok selepas bulan puasa,
pastikan selepas berbuka jangan terus merokok, sebaliknya jauhi kebiasaan
itu dengan berwuduk atau menggosok gigi. Ingatan pada rokok juga dapat
dikurangkan.

"Ambil peluang berhenti merokok pada Ramadan ini kerana ketiadaan nikotin
mudah membuat seseorang itu berhenti merokok," katanya.



*UTAMA <http://www.biovco.com/>*

*TESTIMONI <http://www.biovco.com/testimoni.html>*

*INFO KESIHATAN <http://www.biovco.com/info/>*

*BELI PRODUK <http://www.biovco.com/beli.php>*

Kirim email ke